Showing posts with label Family. Show all posts
Showing posts with label Family. Show all posts

Monday, 10 April 2017

Daging Masak Merah Simple

Hai....
Assalamualaikum...

Merah menyala lauk makngah hari ni oiii..hihi. Dah lama cuba resepi daging masak merah ni. Tapi yang aku selalu duk cuba buat tu semua resepi lebih kurang sama je. Dah resepi pun google kan, mesti la kebanyakan resepinya hampir sama je..
Tapi ada la beza dalam satu dua bahan tu.

Kebetulan pulak adik aku yang duk KL tu balik bercuti, dan dia belikan daging. Aku bab bab mengenal pasti bahagian bahagian daging lembu ni memang gagal seratus peratus. Memang tak pernah kenal biarpun dah bertahun tahun masak daging lembu nih.

Kalau bagi yang pakar, sekali imbas diorang dah boleh tahu part daging tu dari bahagian mana dan texture part tu pun dah boleh tahu dah.
Aku ingat nama nama bahagian je, tapi nak kenal pasti memang tak tahu la. Tahu nama bahagian ni pun sebab dulu dulu masa dekat uni memang kami belajar kenal bahagian bahagian haiwan ni. Contoh haiwan yang aku pernah belajar macam lembu, kerbau, ayam, ikan haaa...ni je yang aku dapat ingat yang lain lain dah kelaut dah semua tu.

Antara bahagian lembu yang aku ingat, tenderloin, rib eye, daging batang pinang, rib, dan yang lain lain tu dah lupa..hahhha
Dari apa yang aku belajar tu, ada bahagian lembu ni yang isi dia sangat la empuk dan tak liat. Ada jugak daging yang sangat liat, ada daging yang bersama dengan lemak hancur, lemak tak hancur pun ada.
Sesetengah bahagian lembu dijual pada harga yang berbeza beza tau. Kalau daging semata mata harga lain, kalau daging dengan lemak pulak harga lain. Kalau yang bahagian bahagian khusus tu pulak harga lain.
Selalu yang aku dengar ialah daging batang pinag. Daging batang pinang ni, bukan dari pokok buah pinang tu ya. Ada ke orang yang fikir macam tu?? hahhah. Daging batang pinang ni, macam nama jolokkan je. Untuk bahagian lembu yang dagingnya lembut dan tak liat.

Tapi kan, sepatutnya kita sebagai pengguna ni patut kena la ambik tahu jugak bahagian bahagian ni. Senang kalau nanti dapat daging dah boleh bajet bajet masak apa yang sesuai. Tak pun buat nya si suami atau mak mertua request nak makan lamb chop ke, meat grill ke haaa kan senang tu. Petik jari je dah dapat beli daging yang sesuai..ni tak, nak kena tanya orang situ sini dulu, nak kena survey dulu nak beli daging apa..aku lah tu.

Ehh...ehhh terbebel pasal lembu pulak dah. Takpe, ni ilmu masakkan mesti la kena ambik tahu jugak kan. Untuk peringatan diri sendiri jugak supaya lepasni kena ambik tahu hal hal bahagian daging ni semua, jangan tahu makan je...hhihihi.

Sebanarnya nak share resepi daging masak merah dari nenek saudara aku ni. ambik ko...nenek saudara aku lagi advance dalam masakan kalau nak dibandingkan dengan aku yang muda mudi nih...hahah.
Ni aku cakap dari segi masakan moden ye..bukan masakan tradisonal tu. Kalau nak bnadingkan dengan masakan tradisonal tu, antara aku dengan nenek saudara aku nih memang sah sah la dari awal lagi dah tersingkir. Sebab lagi lama usia orang tu, lagi banyak la resepi masakan tradisionalnya.

Ok berbalik pada resepi ni, dari sini la aku start suka makan daging masak merah ni. First try masakan dia punya, terus aku suka.
Kita yang muda ni, jarang nak menuntut ilmu masakan dengan orang lama. Kebanyakan nya lebih prefer nak google sendiri resepi tu. Aku lah tu. Tapi takde salah pun google, cuma kadang resepi dari orang lama la lagi asli dan berkhasiat. Masakan sekarang ni, banyak yang resepinya guna bahan bahan segera macam sos, perasa dan sebagainya.

Ni resepi daging masak merah cara nenek saudara aku.
Daging lembu
Pewarna merah
(Rebus daging lembu, nak rebus seketul boleh, nak potong siap siap pun boleh. Lagi cantik kalau rebus seketul daging sebab nanti warna merah tu macam akan ada layer dekat daging tu. Tak la merah menyala macam aku punya nih. Masukkan pewarna bila daging dah hampir masak)

Bawang besar,
Bawang merah,
Lada hijau,
Cuka,
Gula
(Bawang dan lada dipotong halus, kemudian jeruk sekejap dengan cuka dan tambah gula sikit)

Kemudian panaskan minyak dalam 4 5 sudu, dan masukkan daging. Bila daging dah dekat dekat nak masak, masukkan bahan jeruk dan masak.
Kalau nak ada kuah, masukkan air lebihan jeruk dalam daging tu sekali dan tambah jugak air rebusan daging tadi. Boleh perasakan ikut kesesuaian masing masing.

Tu je resepinya..simple kan.. Tak payah guna sos bagai tu. Simple, mudah dan sedap...







Daging masak merah ni memang kegemaran aku. Dan sekarang nih suami pun dah terjebak sekali. Senang je penyediaan nya dan tak banyak bahan pun. Ni kalau nak cepat dan malas buat kerja banyak, boleh la masak daging masak merah nih..hihi
Sekian dula...


LOVE,
Mcdaa

Monday, 3 April 2017

Pengaruh dunia terhadap anak

Hai...

Sebagai seorang ibu muda, muda la jugak just baru menginjak ke umur 30 tahun dan anak pun dah berumur 3 tahun..hihi
Ibu yang baru anak sorang je pun, tapi terasa macam nak meluahkan dan share dalam belog ni tentang perkembangan anak aku sendiri. Betapa dunia disekeliling nya sangat mempengaruhi cara perwatakan, cara perlakuan dan cara pertuturannya.

Tambahan pula aku ibu yang bekerja, jadi masa aku dengan dia agak terhad jugak la kalau nak dibandingkan masa dia dengan dunia dia tanpa aku. Dunia dengan persekitaran bersama orang lain selain dari ibu dan abi dia.

Dari apa yang aku perhati, setiap perkara dia lakukan atau kecenderungan dia pada satu satu perkara akan lebih kuat jika dia berada dalam persekitaran sama dalam suatu jangka masa yang lama, macam persekitaran yang statik je tak ada banayk perubahan.

Contoh sekarang dia banyak habiskan masa dengan menonton tv, kartun kartun dan kartun. Sebab sekarang dia macam terkurung dalam rumah, takada ruang dan peluang untuk dia bermain main diluar rumah. Jadi aktiviti yang mampu dia lakukan ialah menonton tv.

Dan aku pulak bukan jenis yang suka laburkan duit untuk belikan anak mainan. Tapi bukan la langsung tak belikan, ada juga beli tapi tak banyak. Cara aku, biar dia habis explore dengan mainan yang satu tu je. Aku tak nak ajar dia dengan mainan yang banyak banyak, sebab bagi aku buat macam tu tak membantu perkembangan dia.

Tapi sebenarnya agak complicated untuk besarkan anak anak kita dengan acuan yang terbaik. Kadang kita rasa apa yang kita berikan tu dah sehabis baik untuk dia. Tapi bila dilihat dari sudut yang berbeza hasilnya bukan seperti yang kita sangkakan.

Macam contoh sekarang la, anak aku lebih banyak habiskan masa dalam rumah. Menonton tv rancangan kartun, dan akhirnya kartun tu dah mempengaruhi dia. Baik dari segi perlakuan, percakapan dan kadang gerak geri dia susah untuk dikawal.
Makin banyak dia terdedah dengan menonton tv, makin perangainya sukar untuk dikawal. Kadang jadi susah untuk dengar arahan. Aku bukan nak puji cara aku sebelum ni bagus, tapi kalau sebelum ni dia hanya menonton tv waktu pagi dan malam je. Tengahari dan petang waktu untuk dia bermain, bergerak ke hulu ke hilir dalam rumah. Itu lagi baik dari dia duduk statik sambil menonton tv, langsung tak merangsang daya pemikiran dia melainkan menyerap semua perlakuan dalam rancangan kartun tu.

Sama jugak dengan pendedahan pada mainan, kalau anak kita selalu diberikan dengan mainan yang pelbagai perasaan untuk dia bergaul dengan orang akan berkurangan. Dia lebih cenderung untuk berada dalam persekitaran dia bersama sama dengan mainan dia. Jarang untuk berkongsi masalah atau perkara lain dengan orang sekeliling, dia akan lebih cenderung fokus kepada mainan je sepanjang hari.

Nampak macam mudah kita nak didik dan bentuk anak, tapi realitinya tak semudah seperti yang kita harapkan. Semua ibu macam aku ni pasti akan mengharapkan yang terbaik untuk anak anak kita. Tambahan pulak aku macam susah untuk dapat zuriat lagi, jadi yang ada ni la satu satu nya zuriat yang aku nak bentuk hingga mampu menjadi seorang yang berjaya dunia dan akhirat.

Sentuh bab berjaya dunia akhirat ni, pernah ada sorang jurujual datang promote barang yang dia jual. Something like talking pen sekali dengan buku. Bila tujukan pen pada ayat nanti akan automatik keluar suara spelling all those words. Dia cakap buku ni baik untuk bagi kat budak belajar, cepat faham. Aku bagitahu yang anak baru umur 3 tahun, jadi belum masa lagi untuk aku bagi semua ni pada dia. Terus dia macam tak puas hati, sambil buat mimik muka terkejut.

Aku kata..takpe la dulu, aku lebih prefer kalau anak aku ni belajar membesar dulu. Belajar kenal perkasa asas dulu seperti gelak tawa, luka dan darah, kotor dan comot jadi bila besar nanti dia akan lebih kuat dan ada daya tahan dirinya sendiri. Bagi aku la, pendapat personal aku kalau ada parents yang dah terapkan pembelajaran pada anak yang baru umur 2 3 tahun sebenarnya dia membebankan anak tu dan dia dah macam mengehadkan perkembangan anak tersebut.
Di awal usia macam ni, perkara macam bahasa, membaca dan sebagainya bukan objektif utama lagi. Yang utama nya anak tu tahu dan belajar untuk bawa diri dia. Biarkan dia comot, tak apa nanti kita cuci.
Biarkan dia bermain tanah dan pasir, kalau comot nanti kita bersihkan.
Biarkan dia melompat berlari dan berkejar, tapi kita kena sentiasa awasi dengan langkah langkah keselamatan dan pantau had lasak mereka, kalau luka nanti kita letakkan ubat.
Semua benda ni adalah pembelajaran yang semulajadi, tahan air angin api tu semua mengajar dia untuk jadi lebih kuat. Tapi kita kena awasi dan berpada pada la jangan la sampai membahayakan nyawa dia atau orang lain.

Mungkin pandangan dan cara aku agak kolot, agak ketinggalan macam dulu dulu, tapi tu pilihan aku untuk anak aku. Sebab bagi aku itu yang terbaik, kalau pun dia lewat untuk pembelajaran akademik, bagi aku tu bukan perkara yang membimbangkan.

Bagi aku, matlamat aku untuk dia adalah kejayaan akhirat nanti. Aku ni agak jahil, untuk belajar tentang agama yang lebih mendalam aku tak mampu. Lagipun aku bukan hidup dalam persekitaran orang orang yang alim. Jadi, didikan agama adalah perkara yang sangat penting bagi aku.

Nak komen banyak pun macam tak layak, sebab baru 3 tahun didik anak sendiri..



LOVE,
Mcdaa

Sunday, 26 March 2017

2 in 1 BBQ GRILL & STEAMBOAT di rumah

Hai..
Assalamualaikum.

Entry yang dah agak lama terperap dalam draf, selalu tiap kali bukak je draf terus blur tak tahu dari mana nak mula. Tapi asal tutup je blog dan ruangan draf, berderet deret cerita keluar sedia untuk dikarang. Tapi tu lah, kalau dah tutup tak kuasa lah nak klik bukak draf balik. Jawabnya duk la dalam draf dan jadi pekasam kat dalam tuh, tunggu masa lain kali pulak la baru aku update balik..hihi.

Alkisahnya, adik kawan sekerja aku ni ada bukak kedai steamboat dan grill di Kelantan ni. Di bandar yang jaraknya dekat je dengan kawasan rumah aku. Kedai baru buka di bandar, tambahan pulak kedai steamboat grill yang boleh dibilang dengan jari je yang ada di Kelantan ni, tentu tentu lah menjadi tumpuan orang ramai untuk diserbu.

Dan tak ketinggalan jugak la kami sekeluarga pun sama, perasaan nak serbu kedai steamboat dan grill tu dah membuak buak pulak. Lagipun mak ayah aku macam tak pernah lagi kot makan di kedai steamboat grill macam ni. Orang kampung kan, mana nak pernah rasa makan dikedai pelik pelik macam ni. Lagipun diorang ni jarang travel ke tempat lain jadi memang tak pernah la nak ada peluang merasa.

Alang alang dah ada kedai steamboat grill dekat dengan kawasan rumah ni, aku dengan adik beradik dah plan nak bawak mak ayah dengan nenek sekali datang sini. Tapi, dia punya tempahan asyik fully booked je..huhu. Dah nenek aku pulak hujung minggu je dia boleh join, sebab kalau hari lain dia mengajar ngaji jadi memang tak kan kemana la kalau bukan hujung minggu.

Kedai baru bukak macam ni, hujung minggu sah sah lah sentiasa penuh dan kalau nak lebih selamat kena buat tempahan awal. Jadi masalah pulak bila adik aku cuma free time tu je, sebab minggu depannya beliau dah nak balik KL, kerja. Jadi kami agak kempunan jugak la nak merasa makan steamboat grill kat sini.

Bila dah macam excited sangat, aku pulak tah macam mana boleh terjumpa pulak dengan dapur 2 in 1 steamboat & grill ni dalam Lazada. Tengok harga macam murah je. Lepastu try survey dalam 11street pulak, harga lebih kurang. Terus beli 1 set untuk diri sendiri..hihi. godaan sungguh online ni kan.

Tunggu punya tunggu, dekat 3 minggu jugak barang aku baru sampai. Alkisah ni kalau diceritakan memang menyakitkan hati. Seller boleh pulak tersalah alamat, dah la tersalah alamat tapi seller langsung tak maklum kepada aku yang dia dah salah alamat. Dapat tahu pun sebab otak aku ni cerdik sikit boleh berfikir dengan betul.

Call customer service 11street, diorang cakap dah hantar tapi nanti dia nak rujuk balik dengan seller. Kemuadian dia kata seller salah alamat, kena tunggu seller call untuk pengesahan alamat. Tunggu punya tunggu seller tak call, godek2 website jumpa no phone seller, call diorang. Lepas tu baru seller ambik alamat lagi sekali dan baru post. Berjanggut jugak la baru sampai barang yang dipesan.

Sampai je barang tu, terus teruja gila. Tak sabar nak main masak masak dengan si kenit tu. Jadi hari tu just beli ayam je sekor untuk permulaan guna dapur steamboat grill tu..hihi

Patutnya kalau nak buat steamboat grill kena la beli bahan bahan macam ayam, daging, udang, sotong, dan bahan bahan steamboat tu, tapi dah tak sabar punya pasal skip je bahan bahan lain. Hari tu kami masak apa yang ada je.

Dah nama pun nak test main masak masak dengan budak kecik Ammar ni, jadi ayam sekor tu aku potong kecik kecik dan bahagikan kepada 3. Bahagi 3 bahagian sebab nak buat sos perapan yang berbeza. Haaa...kelas kau. Sempat jugak nak perap degan perapan yang berbeza beza.

Maka terhasillah tiga jenis perapan ayam yang berbeza. Perapan BBQ, Madu dan jugak temppayaki. Temppayaki tu yo yo aku je, padahal main tibai je bahan bahannya. Pun boleh asal sedap dan boleh ditelan..hahahah









Nampak tak, kemain meriah dan seronok lagi budak budak ni layan grill. Oleh kerana ayam tu dah dipotong kecik kecik jadi senang la nak grill. Dan masa grill pun kejap je, letak je atas grill balik balik dalam 3 4 minit dah siap.

Kuah pulak aku guna perencah tomyam segera adabi. Just masukkan perencah tomyam dalam kuah tu, biarkan je dalam periuk yang dah memang sekali dengan set dapur tu. Sengaja letak dapur ni kat bawah supaya budak budak tu senang nak masak.

Dapur ni takde la bahaya sangat sebab bahagian besi panas tu dilindungi dan kalau kita yang dewasa ni ada sekali awasi diorang insha allah selamat dan tak membahayakan. Dapur tu jugak macam ada timer atau dah disetkan. Bila suhu besi tu dah max, secara automatik dia akan off sendiri dan kemudian akan panas balik. Jadi tak payah risau takut terover heating ke apa ke sebab dia dah set kepada mood yang selamat.

Tapi satu je la, periuk yang datang sekali dengan set dapur ni agak low in quality sikit. Sebab periuk nya tersangatlah ringan dan masa terima hari tu pun dah ada kesan kemik. Tapi sebab dia nipis kan, jadi boleh ketuk balik part yang kemik tu. Nasib tak bocor je..hahhaha

Dan set dapur ni jugak senang dicuci. Part part dapur ni boleh diasingkan, bukak dan cuci bersih bersih.

Dengan Harga RM130 tak menyesal pun beli dapur ni. Ok la, saiz kecik sedang elok je untuk buat makan dengan keluarga. Harga macam ni takkan nak expect barang yang superb kan..yang ni pun dah kira berbaloi jugak la.

Sekian...


LOVE,
Mcdaa

Wednesday, 15 March 2017

Kronologi Tentang Rumah Kami


Hai semua...

Hari ni aku nak cerita lanjutan dari proses untuk membina rumah impian kami.
1 Langkah dah terlangkah..ehh..ehh..maksud aku langkah nya dah bermula. Proses untuk dapatkan tanah dan geran sudah hampir selesai.

Sekarang tinggal nak tunggu tukar milik nama geran secara sah dan bertulis. Lepas tu baru kita sambung ke langkah seterusnya.
Walaupun proses dapat tanah belum selesai lagi, tapi aku dah lama buat gambaran dan senarai kerja-kerja serta keperluan berkaitan dengan proses untuk menjadikan rumah impian ke realiti..

Aku kongsikan senarai yang dah aku list kan untuk tindakan selanjutnya. Jangan ingat proses ni senang macam goreng pisang ya. Proses untuk jadikan rumah impian sesuatu yang realiti sangatlah tidak mudah. Banyak cabaran, dugaan dan paling menguji kesabaran ialah MASA. Proses ni boleh ambik masa berbulan bulan malah bertahun pun mungkin jika kita tak rancang dan uruskan dengan sebaik-baiknya...cewahhh...Macam pakar berbicara pulak...hihihi

Antara senarai yang aku rancang;
1. Proses jual beli tanah dan tukar nama geran
2. Urusan loan peribadi untuk pembelian tanah (Ogos 2016)
3. Jumpa peguam untuk urusan loan pembinaan rumah, S&P, perkara berkaitan guaman dll (September 2016)
4. Jumpa kontraktor untuk urusan pelan lantai rumah,(October 2016)
5. Urusan dokumen loan (Mac 2017)
6. Kelulusan Loan LPPSA (30 mac 2017)
7. Kerja kerja pembinaan rumah (27 julai 2017) jangka siap dalam masa 4 bulan

8. Urusan detail dan kemasan reka bentuk rumah
9. Pendawaian elektrik
10. dan seterusnya......sebab aku tak tau apa langkah seterusnya...hihihi

Bila urusan tanah selesai, langkah seterusnya ialah jumpa peguam dan bincang untuk perkara seterusnya. Sekarang peguam dah ada, sebab pernah jumpa dan berbincang dengan dia. So far, ok la. Aku pilih peguam ni pun sebab dia memang ada pejabat di daerah Machang. Dan kontraktor yang dia cadangkan tu pun satu pejabat dengan dia. Jadi kalau ada apa-apa masalah atau pertanyaan senang boleh terus ke pejabat dan tanya.
Cari peguam dan kontraktor yang senang untuk dihubungi dan dekat dengan sekitar kita. Sebab yang ni memang sangat membantu kalau kita nak komen atau mengadu apa-apa dengan diorang. Kalau jauh, mungkin masalah kita lambat untuk diselesaikan dan akan makan masa lama pulak untuk siapkan rumah.

Sampai sini dulu untuk senarai perancangan aku. Nanti akan bersambung selepas progress yang seterusnya....

Pelan Rumah; 3 bilik 2 bilik air


Hai..

Progress pembinaan rumah impian...part 2 kot. huhu
Semalam 19 september 2016, en.suami dah pergi jumpa dengan peguam dan bertanyakan tentang urusan proses permohonan loan. dan juga bertanya tentang kontraktor untuk bina rumah, kos-kos terlibat dan prosedur yang perlu dilalui.
Oleh kerana kami beli tanah lepastu bina rumah atas tanah tersebut, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan la. Lain kalau terus buat permohonan untuk beli rumah siap, proses tu terus straight forward dan tak banyak prosedur yang diperlukan...sediakan duit je. yang ni pun kena sediakan duit jugak apa..ngehhhngehhh..

Tanah tu kami beli dari pak sepupu aku, jadi tak ada la leceh sangat nak kena tukar nama geran tanah dulu ke apa. sebab untuk buat pelan rumah dan dapat kelulusan dari majlis daerah tempatan, geran perlu atas nama kita melainkan pemunya tanah bersetuju untuk teruskan kerja pembinaan dengan nama dia dulu.
Sambil tu kita baru tukar nama, maksudnya permohonan loan rumah berjalan serentak dengan tukar nama geran tanah. kalau tukar geran dulu, pastu buat pelan, lepas tu baru mohon loan yang ni akan ambik masa sikit.
Kami ni spesis yang dah tak boleh bersabar lagi dah, kalau boleh hari ni jugak nak mula kan proses pembinaan rumah tu..hahahah. nampak tak betapa tak sabarnya...

Lepas selesai bincang tentang proses permohonan dan semua prosedur tu, sebelum balik en.suami ada ambik 3 contoh pelan rumah dari kontrak yang bekerjasama dengan peguam tu. kiranya peguam dan kontraktor dari pejabat yang sama la, senang nanti kalau ada apa-apa hal yang timbul kemudian hari takde la susah sangat nak mencari depa ni. sebab kadang problem dengan kontraktor, kadang akan muncul problem dengan peguam bab payment, loan dan sebagainya.

Pilihan kami

Yang ni kalau ubah sikit, pun berkenan jugak

Yang ni dua-dua tak ada komen
Oleh kerana peruntukan bajet untuk rumah kami ni adalah terhad, sebab aku belum berani nak ambik komitmen yang tinggi, jadi telah dimuktamadkan hanya rm200 000 sahaja kos yang diperuntukkan untuk bina rumah idaman tu. tak kisah lah walau dapat saiz sekangkang kera sekali pun janji ada rumah tempat untuk berteduh.

Perancangannya kami nak bina rumah 3 bilik dan 2 bilik air, dengan keluasan 1200-1400 kaki persegi. tapi bila survey harga, kebanyakan kontraktor akan ambik upah rm130-rm140 untuk sekaki persegi. Ni kalau quotation dari kontraktor yang berdaftar la, maksudnya yang ada syarikat dan agak terkenal. Tapi ayah aku cakap kalau ambik upah dengan tukang kampung, rm80 - 90 skp boleh dapat. Kalau pandai cari lagi murah dari tu pun boleh dapat.

Cuma yang sakitnya, kalau ambik tukang kampung ni, kita kena stanby duit kat dalam akaun paling kurang rm15 000. sebab tukang kampung akan mintak kita sediakan alatan untuk pembinaan, kiranya simen, bata, kayu dan semua alatan asas tu kita kena sediakan. kalau nak tunggu loan lulus sekali pun, paling kurang kena ada progress pembinaan untuk bank nilai baru boleh dapat duit. duit loan pulak bukan keluar semua, dia akan bayar ikut progress rumah.

Lain kalau dengan kontraktor, dia akan ada time frame pembinaan, loan akan keluar dan sebelum tu diorang akan guna modal sendiri untuk mulakan kerja pembinaan. kiranya kalau akaun bank aku tak ada duit pun masih boleh jalan kan juga kerja pembinaan tu..
Nak tahu lebih detail, sila rujuk peguam atau kontraktor...hihi. aku pun baru je tahu tentang maklumat ni dan masih lagi blur-blur.
ok tak larat nak menaip dah.



LOVE,
Mcdaa

Tuesday, 7 March 2017

Majlis Hadiah Sambut Birthday anak anak mengaji Quran

Hai..

Assalamualaikum....

Mak dengan nenek aku ada buat kelas mengaji untuk anak anak disekitar kampung kami ni. Jumlah keseluruhan pelajar mengaji ni adala dalam 40 pelajar. Tapi selalunya jarang cukup 40 orang ni tiap kali kelas berlangsung...maklum la budak budak kan macam macam ragamnya.

Asalnya mak dan nenek aku ni ajar mengaji kami adik beradik je. Kemuadian ada la anak jiran jiran terdekat yang ikut mengaji sekali. Semua yang datang tu mintak tolong ajarkan anak diorang sekali.
Orang kampung biasa lah, mana ada ambik upah pun mengajar mengaji ni, kelas diberikan secara percuma je.

Dah la percuma, kelas pulak ada tiap tiap malam hari sekolah. Kalau sekolah cuti which is jumaat sabtu di Kelantan, maka kelas mengaji pun cuti jumaat sabtu jugak. Tapi kalau public holiday pulak, kelas tetap berlangsung macam biasa.
Cuma kalau cuti sekolah yang panjang je la baru kelas mengaji pun bercuti jugak. Ya la, bagi peluang anak anak ni berehat secukupnya di musim cuti tu.
Kalau musim cuti sekolah pun kena paksa datang mengaji, tak feel la cuti sekolah diorang kan..hihi

Nenek dengan mak aku ni mengajar tak la garang sangat pun. Mungkin sebab tu kot ramai yang datang nak mengaji di rumah kami. Budak budak yang datang pulak dari unur 4 tahun hingga la 12 tahun. 
Mulanya mak aku macam malas jugak nak terima budak yang umur 4 5 tahun ni, ye lah cakap pun tak berapa nak pandai lagi ni kan pulak nak mengaji quran. Seeloknya mak bapak budak tu la yang ajar kalau masih cakap pun tak berapa nak jelas macam ni.

Tapi tu lah, ada macam macam alasan jugak la yang menyebabkan akhirnya mak aku pun terima jugak. Ada bagi alasan yang cakap anak tak dengar kata kalau mengaji dengan diorang atau diorang yang ajarkan.

Ada yang cakap anak kecik ni nak ikut abang dan kakak nya jugak datang mengaji. Nnagis nangis nak ikut, jadi dari datang saja saja je tu mintak la tolong ajarkan sekali.

Ada jugak sebab nak anak dia mengaji beramai ramai supaya bergaul dengan orang dan tak bosan sangat. Kira macam nak pupuk suka datang kelas mengaji atau suka mengaji melalui tengok kawan kawan yang lain.

Bila dah terima ramai macam ni, kebetulan pulak ada kawan mak aku datang offer yang ada bantuan atau bayaran untuk guru kelas mengaji ni. Tapi kena daftar lah, program bawah kerajaan. Mak aku pun join la lagi pun faham faham je la kan orang kampung, malas aku nak cakap banyak.

Akhirnya dapat jugak la elaun sebanyak RM300 sebulan untuk jadi guru kelas mengaji di kampung. Tapi kena bahagi kan kepada 2 la mak dan nenek aku...hihi

Dan bila budak budak dah ramai macam ni, keluasan ruang mengaji diorang pulak makin terhad. Ya lah, asalnya guna ruang solat dalam bilik nenek aku je. Kat ruang tamu tak sesuai sebab kami pun kena berjaga jaga jugak. Maklum la dengan budak ramai ramai macam ni, kalau mengaji di ruang tamu nanti mata mak dengan nenek aku mesti duk melilau tengok diorang je main apa lah nanti.
Dan kami pun jadi tak selesa la tak ada ruang rehat keluarga.

Tapi alhamdulillah ciksu, anak saudara nenek aku murah hati derma kan duit untuk tampung kos penambahan ruang mengaji tu. Jadi nenek pun upah la tukang rumah untuk buat ruang khas untuk kelas mengaji tu.
Kalau tengok sebijik macam rupa kelas dalam cerita P.Ramlee tu, pendekar bujang lapuk kalau tak silap. Yang ada part diorang belajar huruf ha ho jin semua tu.
Bilik separuh je bersimen lepastu belah atas pasang jaring hingga ke bumbung. Asal dapat berteduh dari panas hujan dan dapat duduk mengaji dengan sempurna dah ok la kan.
Budak budak diorang tak pernah nak demand atau complaint apa apa pun, apa yang ada itu yang mereka terima.

Kalau nak kira, dah banyak tahun jugak la nenek aku mengajar kelas ni. Aku pun dah tak ingat. Sejak aku dapat kerja di kampung dan balik duduk rumah ni pernah jugak la aku tolong ajarkan diorang mengaji..hihi
Suka sangat tengok budak budak kecik ni, diorang walaupun nakal masih suci dari dosa dosa yang macam kita orang dewasa yang dah pernah lalui ni. Tambahan pulak diorang datang mengaji, mengenal kalam Allah.
Kadang bila time dapat gaji, dan kena pulak time rajin ada la beberapa kali aku belanja diorang dengan jamu makan. Tapi selalu aku buat ''roti hotdog'' la (roti yang letak sosej kat tengah tu).
Kemain seronok diaorang bila dapat makanan.

Dan tahun ni, ciksu tu pulak nak sponser untuk buat sambutan birthday pada diorang. Budak budak ni ada yang dari golongan yang susah dan tak kaya pun. Mak bapak kerja kampung je, ada yang tak pernah pun sambut birthday.

Jadi ni la peluang untuk diorang merasa sambut birthday dengan potong kek sendiri. Walaupun terpaksa share la jugak..hihi

Oleh kerana rancangan sambutan birthday ni muncul lewat, iaitu pertengahan bulan Feb, jadi aku combine kan terus untuk yang lahir bulan Jan dan Feb. Ada la dalam 7 orang yang lahir dalam 2 bulan ni.
Menu pulak aku macam malas nak siapkan jadi beli yang goreng goreng je senang nak buat. Aku beli nugget, tempura dan sosej je.
Lepas tu aku beli 4 biji kek untuk majlis ringkas tu. Nak ambik gambar potong kek kan mesti la ada kek. Tanpa kek tak feel la sambutan birthday tu.
Masa nak potong kek tu pulak, takdenya budak budak ni nak menyayi selamat hari lahir ke happy birthday song ke, mak aku just suruh ramai ramai baca alfatihah kuat kuat..hihi

Malam tu boleh dikatakan hampir semua datang, kemain lagi ya sebab nak makan punya pasal. Budak budak ni, bab berkawan no 1.
Agak bising dan tak terkawal jugak la kalau dah ramai macam ni, tambah pulak dengan perasaan excited masing masing lagi lah jenuh nak kawal.




Si ammar macam biasa lah, menyibuk nak potong kek jugak. Sabar nak oii, awak punya bulan julai nanti la. Nanti kita sambut khas untuk awak ya sayang....



Ha...kalau nampak kek tu agak meriah jugak la kan. Padan la dengan harga RM9.90 sebijik. Kek ni aku beli di kedai dekat tempat kerja aku. Kek yang viral sebab murah dan sedap. Dah la guna fresh cream, dan rasa nya pun tak la macam kek yang murah murah tu. Bagi aku ok la.
Dari beli kek yang dihias dengan aising tu, buat muak je. Budak budak pun tak makan sangat kalau yang aising nih.

Sengaja aku beli kek lain lain, supaya budak budak ni excited sikit..hihih


Selesai sudah untuk yang lahir bulan Jan dan Feb dan masih ada 10 bulan lagi yang menunggu giliran masing masing. Kemain suka diorang ni, tak sabar sabar nak tunggu bulan seterusnya. Duk kecoh masing masing dengan bulan kelahiran diorang.
Insha allah semua akan dapat merasa potong kek tu nanti ya adik adik...
Tapi tu lah, yang pening sekarang ni aku la. Next month kena fikir nak buat menu apa lagi. Menu yang kalau boleh dimakan dengan cepat dan mudah dan paling penting costing nya tak lebih dari bajet dalam seratus untuk jamu 40 orang kanak kanak ni.

Hurm...pening jugak nak cari idea menu nih..



LOVE,
Mcdaa.

Tuesday, 21 February 2017

Keluarga Bahagia yang Aku impikan

Hai....

Bila dah berkahwin, dah ada suami dan ada anak sebagai seorang isteri selalunya hidup dia akan berkisar tentang keluarganya sahaja. Kalau dulu masa sebelum kahwin sebelum bergelar isteri kepada firdaus, asal hujung minggu je otak sibuk berfikir nak berjalan nak melepak dan paling penting nak ke shopping mall mana..hihi
Tapi setelah berkeluarga ni, semua tu dah jadi no.2. kawan kawan pun dah jarang contact sebab banyak masa nak fikirkan tentang keluarga dari orang lain dah. Tu la apa yang aku alami sekarang ni. Rasanya ramai jugak kot isteri isteri dan ibu ibu lain yang alami situasi yang sama.
Bila dah kahwin ni, suami dan anak je la kawan kawan ibu...huhu



Alhamdulillah dapat suami yang...nak kata sempurna tak pun...romantik lagi la tak...penyayang...ya mungkin... dan kadang garang serta cepat naik angin...tapi takde la marah tengking tengking atau sampai naik tangan...garang yang masih lagi di tahap normal..dia ni suka buat mimik muka. kalau ada je yang tak kena, teruk buat muka masam mencuka lepas tu tarik muka kelat dia....sakit nya hati dennn oiiii...tengok muka kelat dia pun dah boleh buat kita nangis tau...huhu

Walau pun dia tak sempurna macam mr.perfect dalam drama pukul 7 tv3 tu atau tak seromentik pelakon hero dalam drama tu....tapi yang penting dia utamakan keluarga. Kami sempat berpjj atau berhubungan jarak jauh. Sorang di Kelantan sorang di KL tu semua sebab atas urusan kerja. Ya lah demi mencari rezeki. Tapi dia tak boleh nak teruskan kehidupan sorang sorang tanpa ada anak isteri disamping dia. Last berhenti kerja dan balik tinggal bersama kami. Dia sanggup lepaskan kerja semata mata nak balik dan tinggal bersama keluarga.




Buat masa ni...ni la satu satunya harta dunia akhirat ibu dan abi. Si botak Ammar Fitri...sekarang dah masuk 3 tahun...bulan 7 nanti birthday dia...insha allah nanti kita celebrate ya sayang. Mulut dah selalu duk potpet potpet ada saja perkara yang nak dibualkan.
Panjang akal jugak budak ni, dan paling ibu suka rajin je tiap kali ibu mintak buat kerja atau ambikkan itu ini. Dah hampir faham semua arahan, cuma sebab masih kacik lagi kan kadang tak dapat capai, kalau tak dah boleh suruh tolong ibu buat kerja rumah dah...hihi




Alhamdulillah...akhirnya suami dah dapat kerja tetap selepas dia berhenti kerja di KL hari tu. Hampir 5 bulan jugak dia menggangur, tapi bukan duk goyang kaki je. Dia rela meniaga barang barang bundle asalkan dapat cari duit sikit sikit. Aku pulak, tak kisah pun dia nak buat pekerjaan apa sekali pun. Asalkan halal dan tak menyusahkan orang sekeliling...

Love u bie.....



LOVE,
Mcdaa

Tuesday, 7 February 2017

Putra Valley Tanah Merah

Hai...

Assalamualaikum.

Baru baru ni kami ke Putra Valley di Tanah Merah. Budak budak bosan duk kat rumah je, jadi aku pun bawak la diorang datang sini. Nak bawak pergi mandi pantai macam bahaya sebab kebetulan masa ni suami pulak keluar ada hal dia.

Kalau nak mandi pantai kena bawak orang yang pandai berenang in case kalau apa apa la kan. tapi dah takde suami jadi bawak la diorang datang sini.

Kat sini pun dekat je dari rumah kami, dan dah biasa datang jadi ok je la main kolam pun. Kami sampai pukul 11 pagi. Nak masuk mandi kolam ni berbayar ya. walaupun tak menginap disini, diorang buka je peluang untuk orang awam datang mandi di kolam ni. 

Ingat kan kami je yang macam jakun nak main air kolam sampaikan datang time time panas macam ni. sekali datang orang dah ramai dah, dan penggunjung pun makin bertambah. jadi takde la rasa macam kami je yang over mandi time tengah tengah hari macam ni.

Bayaran nak mandi kolam berbeza ikut peringkat umur. Kalau bawah 6 tahun RM6, umur 6 - 12 tahun RM10 dan dewasa RM12. 
Bagi aku harganya agak mahal jugak la sebab dia just kolam semata je pun. Tak de gelongsor atau pun air pancut pun di dalam kolam tu. tapi kolam agak besar dan ada 2 bahagian iaitu bahagian dewasa dan kanak-kanak diasingkan. yang dewasa pulak dalam air nya cuma paras pinggan orang dewasa je.








Disini jugak boleh berkelah dengan keluarga. Tapi kalau nak buat BBQ tu aku tak pasti lah pulak sama ada dibenarkan atau tak. Disekeliling kolam tu ada disediakan khemah dan kerusi, untuk ibu bapa atau penjaga nak rehat rehat sambil perhatikan budak budak main air.
Tempat persalinan dia pulak agak selesa la, sebab terlindung, bilik persalinan pun bersih dan bekalan air pun ok.

Disini jugak ada disediakan sewa pelampung dan ada gerai yang jual air dan makanan ringan. Tapi kalau bawak pelampung sendiri pun takde masalah, pihak diorang benarkan je.
Nak berkelah bawak makanan sendiri pun boleh, takde halangan pun.

Dekat pukul 2 lebih jugak baru budak budak ni berhenti main kolam. punya lah berejam duk berendam dalam tu. bukan main seronok lagi diorang. lepastu siap ajak pulak nanti datang lagi kat sini.
Baiklah nak...tunggu ibu dapat gaji dulu ya hihi....



LOVE,
Mcdaa